Suasana pagi yang indah dengan cuaca yang redup sehingga jam 9.30 pagi, tidak seperti hari-hari yang biasa. Para jemaah datang seawal jam 7.30 pagi untuk bersama-sama melaungkan takbir. Aktiviti tahunan di surau yang serba kecil ini sememangnya menjadi suatu saat yang ditunggu-tunggu oleh penduduk setempat. Melaksanakan solat hari raya secara bersama, sambil bertemu muka, bersalam-salaman dan bermaaf-maafan merupakan rutin di pagi ini. Apa yang lain, kali ini pihak pengurusan madrasah telah merancang jamuan makan bagi memeriahkan suasana sambutan hari raya di Darul Futuh. Jamuan kali ini lebih berseri dengan sumbangan juadah dari para jemaah. Pihak madrasah ingin merakam jutaan terima kasih kepada para jemaah yang sudi hadir mengimarahkan surau ini dengan ibadah dan aktiviti dakwah.
Khutbah kali ini disampaikan oleh tuan Imam Ustaz Zakariyya Bin Zainal Al-Hafiz, yang merupakan tulang belakang kepada agenda dakwah dan tarbiah di Darul Futuh. Para jemaah kali ini lebih ramai dari tahun-tahun yang sebelum. Mungkin kerana jumlah penduduk yang semakin meningkat, atau mungkin juga kerana Darul Futuh sudah mula ada followernya sendiri. Apa yang penting adalah, usaha dakwah ini harus diteruskan oleh generasi akan datang, tanpa henti walaupun hanya satu hari. Amanah dakwah ini telah dimulakan oleh generasi awal lebih dari 20 tahun yang lalu. Buah yang dituai hari ini merupakan pengorbanan orang-orang terdahulu, di atas kesedaran bahawa dakwah Rasulullullah s.a.w ini merupakan agenda terpenting yang ditinggalkan oleh Baginda untuk umat ini. Kita mulia kerana dakwah ini. Hidup kita bermakna kerana dakwah ini. Tanpa dakwah, siapalah kita. Allah mampu membangkitkan dari umat ini golongan pendakwah yang lain, sekiranya kita tidak memikul tanggungjawab ini. Ketika itu berlaku, kemuliaan sudah tidak ada lagi bagi hidup ini, nauzubillah.
Solat Aidil Adha dan Khutbah yang memakan masa sekitar 30 minit, diakhiri dengan agenda bersalam-salaman, dan disusuli dengan jamuan ringan. Nasi impit dan rendah, ketupat palas, dan nasi daging hasil tangan para jemaah menjadi santapan pada pagi yang penuh keindahan ini. Kehangatan ikatan silaturrahim antara para jemaah kian terasa. Juadah yang lebih sempat juga dibungkus untuk dibawa bekal ahli keluarga dan jiran tetangga yang tidak berkesempatan hadir di Darul Futuh. Semoga aktiviti seperti ini dapat diteruskan dalam suasana yang aman, damai, dan dibawah rahmat dan kasih sayang Allah untuk tahun-tahun yang mendatang.
Pihak madrasah ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada para jemaah semua: Taqabbalallah minkum Solihal Aa’mal. Kullu aa’min wa antum bi khair. Selamat hari raya Aidil Adha, maaf zahir dan batin.
Panduan Terkini SOlat Aidil