Seseorang berhutang dengan pemberi hutang dalam matawang tertentu. Apabila berlaku inflasi, adakah penghutang wajib membayar jumlah hutang yang sama dalam matawang tersebut, atau dia perlu mengambil kadar inflasi atau susut nilai yang berlaku kepada wang pinjaman tersebut?. Sebagai contoh: Ahmad berhutang kepada Ali sebanyak RM 10,000 pada tahun 2000, dan wajib membayarnya pada tahun 2005. Pada tahun 2005, berlaku inflasi di mana jumlah RM 10,000 pada tahun tersebut tidak sama dengan RM 10,000 pada tahun 2000 iaitu ketika pinjaman tersebut di buat. Adakah Ahmad hanya perlu membayar kadar RM 10,000, tanpa melihat inflasi yang berlaku, atau dia perlu mengambil kira kesan inflasi tersebut dan membayar sejumlah nilai duit yang sama kekuatan beliannya ketika pinjaman dibuat?
Di dalam masalah ini, jumhur ulama berpandangan bahawa Ahmad perlu membayar RM 10,000 sahaja dan tidak boleh lebih dari itu. Ini kerana lebihan dari jumlah yang dipinjam dikira sebagai riba, dan ia diharamkan oleh Islam. Maka, tidak boleh bagi Ali mensyaratkan kepada Ahmad jumlah bayaran yang lebih dengan alasan untuk mengambil kira kesan inflasi yang telah berlaku, kerana lebihan bayaran tersebut di kira sebagai riba. Kaedah menyatakan: “setiap pinjaman yang berlaku tambahan padanya, maka ia adalah riba”. Jumlah pinjaman yang wajib dibayar oleh Ahmad kepada Ali adalah RM10,000 sahaja walaupun telah berlaku susut nilai pada matawang tersebut
Akan tetapi, di sana ada pandangan daripada Imam Abu Yusuf al-Qadhi bahawa bayaran yang perlu dibuat oleh Ahmad mestilah mengambil kira kesan inflasi yang berlaku. Ini bagi memastikan keadilan terpelihara.
Dalil:
Kestabilan matawang: Pada zaman dahulu, matawang yang digunakan adalah emas dan perak. Kestabilan nilai emas dan perak adalah disebabkan oleh nilai zat yang ada pada keduanya, tanpa bergantung dengan faktor luaran Ini berbeza dengan matawang pada zaman sekarang, di mana ia tidak memiliki nilai pada zatnya. Ianya hanyalah sebuah kertas. Nilainya terletak kepada pengiktirafan negara dan rakyat di dalam menggunakannya. Maa kestabilannya tidak dapat dijamin. Sebagai contoh matawang Dinar Iraq, Lira Lubnan dan Lira Syria adalah matawang yang telah mengalami inflasi yang sangat teruk disebabkan oleh peperangan. Sekiranya tidak dengan peperangan, matawang boleh jatuh nilainya dengan sebab malapetaka yang berlaku, atau dengan sebab pendirian negara-negara pengeluar minyak dunia, atau dengan sebab polisi dan tindakan bank negara (sebagai contoh, apabila bank negara mencetak duit lebih dari sepatutnya, maka berlaku inflasi). (Inflasi juga boleh berlaku apabila bank-bank memberi pinjaman wang kepada pelanggan, sehingga membentuk ‘demand’ yang tinggi di dalam pasaran terhadap sesuatu barangan daripada pembeli yang hanya bergantung kepada pinjaman untuk membuat ‘demand’ tersebut. Dengan demand yang tinggi, harga barangan akan naik. Dalam erti kata yang lain, nilai duit menurun).
Prinsip Keadilan: Di atas faktor-faktor ini, sekiranya Ahmad membayar kepada Ali jumlah RM 10000 yang dipinjamnya, sudah pasti Ali mengalami kerugian, hasil dari inflasi yang berlaku. Kebaikannya yang dilakukan kepada Ahmad dengan memberi pinjaman menatijahken kerugian buatnya. Ini bertentangan dengan prinsip Islam yang memperjuangkan keadilan. Firman Allah s.w.t:
إن الله يأمر بالعدل
Yang bermaksud: “sesungguhnya Allah memerintahkan untuk berbuat keadilan”. (surah an-Nahl: 90)
Memeliharan kemudaratan: Selain itu, perkara ini juga bertentangan dengan prinsip memelihara daripada kemudharatan. Sabda Rasulullah s.a.w:
لا ضرر ولا ضرار
Yang bermaksud: “jangan melakukan kemudharatan atau membalas dengan kemudharatan”
Sekiranya Ahmad membayar hutang dengan jumlah yang sama iaitu RM10,000 kepada Ali pada thaun 2005, maka Ahmad telah memberi kemudaratan kepada pemberi hutang.
Malapetaka harus diambil kira: Selain itu, disana terdapat hadis berkenaan malapetaka, dimana Nabi s.a.w bersabda:
"إن بعتَ من أخيك ثمراً فأصابته جائحةٌ فلا يحل لك أن تاخذ من شيئاً، لِمَ تأخذ مال أخيك بغير حق؟"
Yang bermaksud: “sekiranya engkau menjual buah kepada saudaramu, lalu buah tersebut diserang oleh malapetaka (penyakit yang merosakkannya), maka tidak halal bagimu untuk mengambil sesuatu (sebagai bayaran buah yang dijual). Kenapa engkau ingin mengambil harta saudaramu tanpa hak?” (hadis riwayat Imam Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa malapetaka memainkan peranan dalam jual beli. Begitu juga halnya dengan inflasi yang berlaku dengan sebab malapetaka seperti perang, dan sebagainya, ia perlu diambil kira di dalam penunaian hak antara sesama manusia.
Ini merupakan hujah-hujah yang menyokong Ali untuk menuntut hutangnya untuk dibayar mengikut kadar nilai semasa, bertepatan dengan nilainya ketika tahun 2000, iaitu dengan mengambil kira kadar susut nilai yang berlaku. Sekiranya pada tahun 2000, nilai RM 10000 mampu digunakan untuk membeli 100 gram emas, maka pada tahun 2005 ketika waktu pembayaran, Ahmad hendaklah membayar sejumlah duit yang mampu digunakan untuk membeli 100 gram emas walaupun jumlahnya mungkin mencecah RM 20000.
Namun begitu pandangan ini bertentangan dengan keputusan kebanyakkan majlis-majlis fatwa semasa.
(rujukan: Abdullah Bin Bayyah, Maqosid Al-Muamalat wa Marasid al-Waqiat, 133-134)